.

Selamat Datang

SELAMAT DATANG KE BLOG SMK ADE PUTRA.... KUNJUNGAN ANDA KE BLOG INI SANGAT DIALU-ALUKAN....

17 Oktober 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH


PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Konsep PBS

1. Soalan: Apa itu PBS?

Jawapan: PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor
(jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan
akademik

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara
terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-
guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat,
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran
Psikometrik.

2. Soalan: Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?

Jawapan: Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah
yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz,
soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan
kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran
merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu
guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

3. Soalan: Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?

Jawapan: Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara
untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

4. Soalan: Bila PBS mula dilaksanakan?

Jawapan: PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan
UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada
2014.

5. Soalan: Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?

Jawapan:

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek
JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran
sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik
melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif
dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan
assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih
kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan
assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada,
Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard
Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran
serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses
mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh
buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan
standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti
yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang
murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran
dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid
dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk
melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini
akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana
guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-
masing kerana mereka:
- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan
pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan
perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

6. Soalan: Apakah standard prestasi?

Jawapan: Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan
tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang
yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda
aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir
bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan
berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

7. Soalan: Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?

Jawapan:

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing
guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan
yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan
memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan
yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada
Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan
instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

8. Soalan: Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan
pembelajaran anak-anak mereka?

Jawapan: Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-
bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat
perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data
base).

9. Soalan: Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?

Jawapan: Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh
membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang
perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan
perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi
untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

10. Soalan: Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?

Jawapan: PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari
segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana
pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

11. Soalan: Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?

Jawapan: Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid
masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan
pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan
perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

12. Soalan: Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?

Jawapan: Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas
pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang
Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan